Tajuk : Penyerahan zakat, sempena sambutan Maulidur Rasul UTHM

JOHOR BAHRU 6 April – Warga Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) diseru menghayati keindahan Islam yang mencakupi segala aspek kehidupan khususnya dari sudut akidah, ibadat, muamalat, akhlak, ilmu dan sebagainya.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin berkata, selain itu, penekanan kepada sifat amanah juga penting kerana tanpanya, seseorang akan menjadi perosak kepada organisasi yang disertainya.

“Bagi memenuhi pengertian amanah maka kita perlu berlumba-lumba menunaikan tugas dan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh dan penuh integriti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul universiti itu anjuran Pusat Islam UTHM di Batu Pahat dekat sini baru-baru ini.

Majlis sambutan berkenaan diisi dengan ceramah yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Zakat, Baitulmal dan Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ), Sheikh Ahmad Faisal Mohammed..

Pada majlis itu juga berlangsung penyerahan wang zakat dari anak syarikat UTHM iaitu KUTECH Sdn. Bhd. sebanyak RM30,000 kepada MAIJ serta penyerahan zakat dari pihak Takaful Etiqa kepada 150 orang mahasiswa UTHM melibatkan jumlah keseluruhan RM 70,000.

Sebelum itu, lebih 1,000 mahasiswa dan staf telah menyertai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat universiti itu.


Dr. Mohd. Noh Dalimin (kanan) menyampaikan replika cek wang zakat KUTECH Sdn. Bhd. kepada Sheikh Ahmad Faisal Mohammed di UTHM, Batu Pahat , Johor, baru-baru ini