Tajuk : MAIJ beri RM11,000 bina rumah ibu tunggal enam anak

KOTA TINGGI 20 April - Bantuan membina rumah baru berjumlah RM11,000 oleh Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) ibarat bulan jatuh ke riba bagi sebuah keluarga daif di Kampung Masjid, Sungai Rengit, Pengerang di sini.

Bantuan segera yang akan memulakan pembinaan minggu ini bakal membawa sinar baru kepada keluarga berkenaan, sekali gus memenuhi impian seorang ibu tunggal, Noraeshah Mohd. Dali, 48, dan anak-anaknya untuk tinggal di rumah lebih selesa.

"Syukur alhamdulillah, sebagai sebuah keluarga besar, tentunya saya amat gembira dengan adanya rumah baru itu nanti, apatah lagi ia adalah sumbangan daripada MAIJ," katanya.

Rumah baru itu akan menyediakan tempat tinggal lebih selesa baginya dan enam anak yang berusia antara lima hingga 29 tahun berbanding rumah lama peninggalan suaminya yang usang.

Walaupun mempunyai tiga orang anak yang telah dewasa, namun mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap dan sekadar mampu untuk menyara ibu dan adik-adik yang lain.

Kelmarin Noraeshah menerima kunjungan rombongan Pegawai Tadbir Agama Daerah Kota Tinggi, Mohd. Taufik Datuk Kiyai Shamsuddin bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Datuk Harun Abdullah.

Hasil kunjungan tersebut, Baitulmal, MAIJ bersetuju mengeluarkan bantuan segera bagi membina sebuah kediaman yang lebih selesa bagi keluarga tersebut.

"Keadaan rumah ibu tunggal ini begitu daif ekoran banyak bumbung telah bocor dan kayunya reput serta boleh rebah pada bila-bila masa.

"Melihatkan keadaan itu, kami tidak mahu menunggu lama dan meluluskan peruntukan segera bagi membina sebuah rumah untuk keluarga tersebut," kata Mohd. Taufik.

Kerja-kerja pembinaan rumah berkenaan akan dimulakan minggu ini dan dijangka siap dalam masa dua hingga tiga minggu.

Sumber: Utusan Malaysia