MERSING 8 Julai – Dalam mengembangkan dakwah dan meninjau masalah dalam hal berkaitan keagamaan, jarak dan lokasi yang jauh tidak menjadi halangan kepada Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) untuk mendekati penduduk sasaran.
Justeru, JAIJ dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) telah mengadakan program Jalinan Ukhuwah Jelajah Pulau di Pulau Tinggi, dekat sini, kelmarin bagi bertemu dengan masyarakat yang tinggal di pulau berkenaan.
Program selama dua hari itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk pulau itu yang begitu teruja menerima kunjungan rombongan JAIJ dan MAIJ yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman.
Program itu bertujuan memperkukuh hubungan ukhuwah dan silaturahim antara penduduk di Pulau Tinggi dengan kakitangan JAIJ dan MAIJ, di samping menyampaikan sumbangan MAIJ kepada golongan yang kurang bernasib baik.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAIJ, Yahya Ahmad, 43, berkata, program itu juga dapat memberi pendedahan kepada masyarakat setempat mengenai program-program JAIJ serta meninjau peluang-peluang yang boleh disalurkan kepada penduduk.
“Dengan adanya program ini, JAIJ dapat meninjau masalah dan isu-isu yang membelenggu penduduk terutama dalam bidang pendidikan agama dan keperluan bantuan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, pelbagai program menarik diadakan sepanjang dua hari program berkenaan dengan penekanan terhadap dakwah secara tidak langsung.
“Antara pengisian program adalah ramah mesra bersama penduduk, sesi perbincangan, gotong-royong membersihkan persekitaran masjid, acara sukaneka dan penyampaian bantuan MAINJ kepada penduduk,” jelasnya.
Pertandingan azan, iqamah dan hafazan surah oleh pelajar sekolah turut diadakan bagi memeriahkan lagi program itu.
Sementara itu, Zainal Abidin memberitahu, pihaknya telah beberapa kali merancang untuk mengadakan program seperti itu agar masyarakat di pulau-pulau tidak berasa dipinggirkan.
“Saya berharap program ini dapat memberi impak yang besar kepada masyarakat di sini dan jalinan ukhuwah dikekalkan,” katanya.
Turut serta mengikuti rombongan tersebut, Timbalan Pengarah Pengurusan JAIJ, Karim Abu Bakar yang juga setiausaha MAIJ; Ketua Penolong Pengarah Baitulmal, Zakat dan Wakaf, Faisal Mohamad serta Kadi Daerah Mersing, Bahrin Jalal.
Sebahagian besar penduduk Pulau Tinggi yang ditemui Utusan Malaysia seronok dan berpuas hati dengan program Jalinan Ukhuwah Jelajah Pulau yang diadakan selama dua hari itu.
Ketua Kampung Pulau Tinggi, Rahman Ali, 58, berkata, seramai 150 penduduk di situ memang ternanti-nanti kunjungan rombongan tersebut untuk beramah mesra dengan kakitangan JAIJ dan MAIJ.
“Selaku pemimpin di sini, saya rasa bangga melihat penduduk begitu teruja dan seronok terutama semasa turut serta dalam setiap program yang diatur oleh JAIJ dan MAIJ,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Zainal Abidin kerana berusaha untuk membawa program tersebut ke Pulau Tinggi.
“Saya harap program ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang bagi mengeratkan lagi silaturahim,” katanya.
Seorang penduduk yang ditemui, Siti Hajar Ibrahim, 18, berkata, dia seronok dapat turut serta dalam aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan masjid bersama peserta rombongan.
“Aktiviti seperti sukaneka antara penduduk dengan peserta rombongan dapat menjalinkan hubungan yang baik serta memberi keseronokan kepada golongan remaja di pulau yang jarang mendapat kesempatan seperti ini,” katanya.
Rakannya, Haneffa Sahardan, 20, turut bersetuju dengan pendapat Siti Hajar serta berpuas hati dengan komitmen yang diberikan oleh peserta rombongan bagi menjayakan program itu.
“Semua kakitangan JAIJ dan MAIJ sangat ramah sepanjang program dan tidak lokek berkongsi pendapat.
“Saya juga seronok melihat gelagat peserta terutama dalam acara sukaneka yang turut disertai Datuk Zainal Abidin dan Datin Nor Izzah,” katanya.
Sementara tu, Hafizah Harisa Sahardan, 19, berharap program tersebut akan diadakan lagi pada masa akan datang.
“Jika program seperti ini diadakan lagi pasti penduduk di sini memberikan kerjasama yang baik kerana ia menyeronokkan,” katanya.
Sumber berita: Utusan Malaysia |