Tajuk : Belia disaran ceburi sektor pertanian

MERSING 7 Jun – Golongan belia di luar bandar perlu lebih berani menceburi bidang pertanian bagi mengusahakan tanah-tanah terbiar di sekitar kawasan mereka untuk mendapatkan pulangan pendapatan yang menguntungkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, ini kerana pelbagai peluang untuk golongan tersebut menceburi bidang berasaskan pertanian sudah disediakan kerajaan di kawasan mereka.

“Para belia perlu memanfaatkan peluang ini kerana saya dapati terdapat banyak tanah terbiar dan tidak dimajukan di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan program Jalinan Kasih Orang Muda peringkat Kampung Semanyir dekat sini baru-baru ini.

Pada majlis berkenaan, Zainal Abidin turut menyampaikan sumbangan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) kepada 30 orang ibu tunggal dan golongan yang kurang bernasib baik.

Beliau berkata, antara yang boleh dilakukan ialah pemilik tanah yang tidak berkemampuan, bekerjasama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan persatuan belia tempatan untuk mengusahakan tanah mereka.

Katanya, para belia boleh mengusahakan tanaman sayur-sayuran atau menternak lembu dan kambing bagi memajukan ekonomi mereka serta penduduk setempat.

“Secara tidak langsung ia akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat di samping mengurangkan penghijrahan penduduk desa ke bandar,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Belia Wawasan Kampung Semanyir, Zahari Mohamad, 32, berkata, program tersebut diadakan bertujuan merapatkan hubungan golongan muda dengan warga tua terutama mereka yang tidak bernasib baik.

Sumber: Utusan Malaysia