Tajuk : Aqil Putra perlu bantuan

JOHOR BAHRU 11 Mac - Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Demikian yang dirasai oleh keluarga kanak-kanak malang, Aqil Putra Anas, 4, selepas disahkan menghidap leukimia sejak Januari tahun lalu.

Kini Aqil Putra yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik terpaksa bergantung sepenuhnya dengan ubat-ubatan yang dibekalkan oleh pihak hospital.

Ibunya, Nurzawira Mustafa, 33, berkata, anaknya mula menunjukkan tanda-tanda demam berpanjangan sejak berusia dua tahun dan apabila diperiksa di Hospital Sultan Ismail (HSI), doktor mengesahkan anaknya menghidap penyakit itu.

''Apabila doktor mengesahkan anak saya menghidap leukimia pada awal Januari tahun lalu, hati saya bagaikan tersentak dan hanya Allah saja yang tahu hati saya," katanya kepada Utusan Malaysia di rumahnya di Taman Desa Jaya di sini semalam.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, sebelum doktor mengesahkan perkara itu, anaknya telah dimasukkan ke HSI selama sebulan bagi mengesan penyakit yang dihadapinya melalui kajian sampel darah.

Aqil Putra, menurutnya, terpaksa menjalani kemoterapi dua bulan sekali di HSI sehingga 2011.

''Saya ada menerima bantuan daripada Majlis Kanser Malaysia (Makna) sebanyak RM250 sebulan sejak tahun lalu tetapi bantuan tersebut hanya setahun saja dan habis pada April ini," jelasnya.

Katanya, dengan gaji suaminya sekitar RM700 sebulan, dia terpaksa bekerja lebih masa bagi menampung bayaran hospital, sewa rumah dan juga keperluan sekolah dua anaknya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Penaksir Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Ahmad Jupri ketika menyampaikan bantuan kepada keluarga tersebut berkata, MAIJ akan membantu meringankan beban tanggungan keluarga tersebut.

''Pihak kami akan segera membantu keluarga tersebut dengan membayar tunggakan rumah sewanya serta bil hospital yang perlu dibayar," katanya.

Dalam kunjungan ke rumah keluarga tersebut MAIJ menghulurkan bantuan kewangan sebanyak RM300 serta hamper makanan yang disampaikan oleh Ahmad Jupri.

Justeru, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Nurwazira di nombor 012-7275023 atau menderma melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 01148-29-00011218-3.