Tajuk : AmIslamic bayar zakat RM107,777

JOHOR BAHRU 12 Mac - AmIslamic Bank muncul institusi kewangan pertama menghulurkan zakat perniagaan bernilai RM107,777 kepada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ).

Pengurus AmBank Wilayah Selatan, Shaiful Bahri Mohd. Yaacob berkata, wang tersebut merupakan zakat bagi tahun kewangan 2009 dan diagih-agihkan kepada rumah-rumah amal terpilih di negeri ini.

Majlis penyerahan zakat itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman di Hotel Mutiara, di sini semalam.

Turut hadir Mufti Johor, Datuk Muhammad Tahriri Samsudin dan Pengurus Perhubungan Pendepositan AmBank Wilayah Selatan, Aidah Ishak.

Antara yang menerima agihan wang zakat itu adalah Persatuan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam, Kluang; Rumah Amal Anak-anak Ikhwan, Muar; Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam, Segamat dan Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam, Mersing.

Shaiful Bahri berkata, daripada jumlah itu MAIJ mendapat RM19,770 dan Persatuan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam, Kluang (RM25,000).

Rumah Amal Anak-anak Ikhwan menerima RM20,000, Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam, Mersing (RM18,000) dan Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam, Segamat (RM25,000).

Selain kewajipan membayar zakat perniagaan, pihaknya turut menganggap sumbangan itu sebagai salah satu tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, pada tahun lalu MAIJ telah menerima zakat harta dan perniagaan berjumlah RM109.20 juta berbanding RM100.70 juta pada tahun 2008.

"Pada keseluruhannya jika diamati kesedaran dalam kalangan umat Islam untuk membayar zakat perniagaan dan harta menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun.

"Mengikut hukum syarak kesemua wang zakat yang dikumpul oleh MAIJ, kita agih-agihkan kepada lapan asnaf yang layak," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia