Tajuk : Mantapkan penghayatan Islam - MB

JOHOR BAHRU 16 Mei - Umat Islam khususnya badan-badan bukan kerajaan dan warga pendidik diseru agar memainkan peranan lebih giat bagi memantapkan lagi penghayatan Islam termasuk memperkukuhkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, ia penting untuk membantu memastikan masyarakat Islam memahami dengan lebih jelas pegangan tersebut dalam soal akidah, fikah dan tasawuf.

"Kita mengharapkan mereka memahami secara lebih mendalam lagi termasuk menjiwai dasarnya daripada sumber al-Quran, as-Sunnah, al-Ijma dan Qiyas yang menjadi teras dalam syariat Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan seminar lanjutan tahsin al-Quran sempena Mesyuarat Agong Persatuan Qurra' Johor di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar di sini hari ini.

Seminar itu dianjurkan oleh persatuan berkenaan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Datuk Zainal Abidin Osman; Pengarah (MAINJ), Abdul Rahman Jaffar dan Pengerusi persatuan itu, Syed Ahmad Syed Abdullah Al-Idros,

Abdul Ghani memberitahu, usaha memperkukuhkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah perlu dilakukan dengan kerjasama jabatan agama negeri dan daerah-daerah secara berterusan bagi kesejahteraan ummah.

"Kita berasa amat tenang dan tenteram dapat mengamalkan ajaran Islam secara yang diamalkan oleh ulama silam dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, dengan tidak berlaku pergaduhan sesama sendiri dalam fahaman agama," jelasnya.

Justeru, beliau berharap masyarakat Islam seluruhnya diingatkan agar berpegang teguh dengan ajaran Allah dan jangan berpecah belah dalam bab agama bagi kesejahteraan dan kemajuan umat Islam.

Lebih-lebih lagi menurutnya, sejak kebelakangan ini terdapat kelemahan umat dalam beberapa bidang ilmu Islam dan kemahirannya seperti dalam tafsir al-Quran, hadis, tauhid, fikah dan usul fikah.

"Keadaan tersebut besar kemungkinan disebabkan kurang kesungguhan dalam mengamalkan prinsip hidup yang dianjurkan oleh al-Quran dan sunah," katanya.

Di negeri ini, Abdul Ghani berkata, terdapat kira-kira 10,000 warga pendidik ilmu Islam seperti guru-guru ta'mir, Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) dan imam-imam yang terlibat secara langsung dalam proses pendidikan Islam.

Katanya, jika golongan tersebut digembleng dengan teratur maka mereka boleh menjadi penggerak utama membangunkan umat secara berkesan.

Sementara itu, beliau berkata, seminar berkenaan amat penting dan selaras dengan program membudayakan al-Quran, sunah dan tafsir al-Quran yang dilaksanakan kerajaan negeri sejak 10 tahun lalu.

Katanya, program berkenaan memberi peluang kepada kakitangan kerajaan dan masyarakat meningkatkan kemahiran membaca al-Quran dan memahami ajaran Islam.

"Usaha ini mendapat sambutan yang baik dan sekali gus mewujudkan majlis-majlis ilmu dan inilah sebahagian daripada pendidikan ilmu yang pernah dilaksanakan oleh para sahabat Rasulullah S.A.W dan para tabi'in yang berjaya memberi kesan dalam menghayati kitab suci al-Quran," jelasnya.

Menurutnya, dengan cara itu, al-Quran akan menjadi sumber rujukan menggerakkan pembangunan manusia dengan roh dan minda melalui pengukuhan iman dan akhlak umat termasuk generasi muda.

Sumber: Utusan Malaysia