PROGRAM MENYANTUNI MASYARAKAT JADI TUMPUAN DI KARNIVAL SAHAM WAKAF JOHOR PARIT RAJA

posted in: Bantuan, Wakaf | 0

BATU PAHAT, 2 Ogos – Majlis Agama Islam Negeri Johor Daerah Batu Pahat menganjurkan Karnival Saham Wakaf Johor DUN Parit Raja di Surau Al-Ikhsan, Jalan Sekolah Arab, Parit Raja Darat dengan pelbagai pengisian bermanfaat kepada masyarakat setempat.

Antara pengisian utama, Program Insaniah baik pulih rumah serta penukaran perabot milik Encik Mohd Abdul Razak Abd. Majid di Jalan Baru 1, Parit Raja Laut bagi menyediakan persekitaran kediaman yang lebih selesa dan kondusif.

Selain itu, Program Belanja Dapur turut diadakan dengan memberi manfaat kepada 100 penerima agihan zakat yang membuat pembelian keperluan asas di Ain Freshmart Parit Raja Darat. Setiap keluarga menerima peruntukan sebanyak RM300, sekali gus membantu meringankan beban kos sara hidup mereka.

Karnival ini turut mendapat sambutan menggalakkan menerusi Program Tukar Minyak Hitam Motosikal Percuma yang memberi manfaat kepada 100 peserta terawal di Bengkel Fadzli Motor Family Enterprise.

Hadir memeriahkan program, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja, Yang Berhormat Puan Hajah Nor Rashidah Ramli, bersama Amin Baitulmal Daerah Batu Pahat, Ustaz Mohd Siddik Maidin Kutih, Ketua Kampung Parit Raja, Tuan Majdan Jamain (Tok Dan) serta para pemimpin dan penduduk setempat.

Pada sebelah malam, program diteruskan dengan Forum Hal Ehwal Islam yang menjadi platform perkongsian ilmu dan pencerahan kepada masyarakat mengenai isu-isu semasa serta penghayatan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian.

#AmazingMAINJ#MAINJPrihatin

https://www.facebook.com/share/1GuyajDrRd/?mibextid=wwXIfr