Tajuk : RM6.5j bantuan pelajar miskin

JOHOR BAHRU 3 Jun - Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) memperuntukkan bantuan kewangan sebanyak RM6.5 juta kepada pelajar miskin dan kurang berkemampuan untuk meningkatkan kecemerlangan akademik mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, bantuan tersebut disediakan melalui tujuh jenis skim untuk murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah dan mahasiswa institut pengajian tinggi di dalam dan luar negara.

"Objektif utama skim bantuan ini adalah untuk membantu mempertingkatkan taraf pendidikan masyarakat Islam ke tahap terbaik dengan memastikan golongan tersebut mendapat pendidikan sempurna," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya, di sini semalam.

Beliau berkata, skim tersebut ialah Bantuan Pakaian Sekolah, Bantuan Yuran Sekolah, Bantuan Basikal dan Cermin Mata, Bantuan Pendaftaran Institut Pengajian Tinggi (IPT), Bantuan Dermasiswa Pelajar Luar Negara, Bantuan Pinjaman Pendidikan Bidang Kritikal dan Bantuan Tambang Ke Pusat Pengajian.

Zainal memberitahu, kesemua bantuan berkenaan bagaimanapun tertakluk kepada syarat yang ditetapkan MAIJ.

Katanya, jumlah peruntukan sebanyak RM6.5 juta itu merupakan peningkatan berbanding RM4.38 juta pada 2009 dan RM4 juta pada 2008.

Daripada jumlah tersebut, tambahnya, bantuan pinjaman pendidikan pengajian kritikal adalah yang tertinggi berjumlah RM2.1 juta diikuti pembelian pakaian sekolah (RM2 juta); dermasiswa pengajian luar (RM1 juta); yuran IPT (RM600,000); yuran sekolah (RM300,000); pembelian basikal (RM250,000) dan tambang pelajar (RM250,000).

Beliau berkata, pelajar yang melanjutkan pengajian di peringkat sijil, diploma dan ijazah di IPT tempatan, diberikan bantuan antara RM300 hingga RM1,000 seorang.

Katanya, bantuan untuk pelajar universiti di Timur Tengah pula adalah sebanyak RM4,000 setahun bagi pelajar tahun tiga dan empat di bidang pengajian Islam dan tahfiz.

Menurutnya, bantuan pinjaman pendidikan secara tanpa faedah disediakan untuk pelajar jurusan perubatan jika memenuhi syarat mendapat keputusan 8A termasuk kesemua A dalam Bahasa Inggeris, Biologi, Kimia dan Fizik dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

"Mereka yang cemerlang ini diberikan bantuan pinjaman RM20,000 hingga RM30,000 setahun," katanya.

Zainal Abidin berkata, setiap seorang pelajar yang layak juga diberikan bantuan tambang iaitu sebanyak RM1,200 bagi pelajar di universiti luar negara dan RM200 bagi pelajar IPT tempatan.

Tambahnya, bagi pelajar yang tidak mendapat 8A tetapi masih diterima menuntut di universiti luar negara, maka pelajar itu diberikan bantuan pinjaman separuh daripada yang ditawarkan kepada pelajar cemerlang.

Sumber: Utusan Malaysia