Tajuk : Nasib wanita malang terbela

MERSING 5 Jun - Nasib malang Ramlah Mat Jusoh, 58, yang kematian suami selain kehilangan rumah dalam kebakaran baru-baru ini, mendapat perhatian apabila diberi bantuan ihsan sebanyak RM1,000 oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ), kelmarin.

Bantuan menerusi peruntukan Baitulmal MAIJ itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman.


ZAINAL Abidin Osman (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan Majlis Agama Islam Negeri Johor kepada Ramlah Mat Jusoh yang kehilangan suami dalam kebakaran rumahnya di Endau, Mersing, baru-baru ini.

Zainal Abidin turut menyampaikan barangan keperluan harian dan sumbangan peribadi bagi meringankan beban mangsa.

"MAIJ sedang memikirkan bantuan susulan yang sesuai untuk diberikan kepada Ramlah," kata Zainal Abidin selepas menyampaikan bantuan tersebut kelmarin.

Beliau berkata, ini kerana kerajaan terutamanya menerusi MAIJ sentiasa membantu rakyat yang ditimpa bencana dan musibah.

"Saya telah mengarahkan MAIJ memberikan bantuan segera kepada keluarga mangsa sebaik saja menerima maklumat daripada orang ramai mengenai kejadian pada hari tersebut," katanya.

Dalam kejadian pukul 2.55 petang itu, Hashim Jaafar, 87, pesara Majlis Daerah Mersing (MDM), ditemui mati apabila tidak sempat menyelamatkan diri apabila rumahnya yang terbakar.

Ramlah berkata, semasa kejadian itu, suaminya tinggal bersendirian di rumah kerana dia sedang bekerja di asrama sebuah sekolah berdekatan.

Sementara itu, Ramlah mengucapkan terima kasih dan bersyukur atas bantuan MAIJ dan Zainal Abidin.

"Saya redha dan menerima ketentuan Allah ini dengan tabah dan bantuan yang diterima akan digunakan dengan sebaik mungkin," katanya yang buat sementara waktu terpaksa menumpang di rumah saudara-maranya.

Sumber: Utusan Malaysia